Kursus Akan Datang oleh Mirai Techno Enterprise

  • Kursus Asas AutoCAD 2D (20-21 Julai 2019)
  • Kursus Advance AutoCAD 3D (3 - 4 Ogos 2019)

Tuesday, December 3, 2019

Pensyarah Ini Berkongsi Tentang Tugasan Pensyarah Selain Mengajar..


Apa Yang Saya Buat Sebagai Pensyarah...

※Maaf perkongsian ini agak panjang sedikit, tetapi ini adalah perkongsian pengalaman tentang kerjaya seorang pensyarah.  Semoga bermanfaat..

Berlakunya gempa bumi pada 11 Mac 2011 merupakan titik permulaan saya untuk pulang ke Malaysia kerana permintaan keluarga. Dan pada bulan Julai 2011, saya telah pergi menghadiri interview sebagai pensyarah di Malaysia Japan Higher Education Program iaitu kesinambungan daripada projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) atau Higher Education Loan Project (HELP). Ini adalah program di mana Jepun telah memberikan dana kepada Malaysia untuk menghantar pelajar ke Jepun. Kini apabila bertukar kepada MJHEP, ia adalah dana dari kerajaan Malaysia.


Dalam temuduga tersebut, saya telah membuat mock teaching subjek Mechanics of Material kerana saya boleh gunakan ilmu design steam turbine saya di situ. Saya telah bentangkan dalam dwi bahasa iaitu English (yang saya sangat jarang guna) dan Bahasa Jepun (yang merupakan favorite sebab selalu guna). Apa yang saya harap ketika itu ialah dapat balik Malaysia dan gaji juga tidak jauh sangat berbeza dengan Jepun. Alhamdulillah diterima dan saya mohon masuk lambat iaitu selama 6 bulan dan saya telah berhenti sebagai Steam Turbine Design Engineer pada 16 Mac 2012, dan pulang ke Malaysia pada 22 Mac 2012 dan mendaftar sebagai pensyarah pada 1 April 2012. Alhamdulillah, 7 tahun lebih telah berlalu dan kini saya masih menjadi pensyarah.

Apa yang saya buat sebagai pensyarah? Ini saya kongsikan secara ringkas apa yang saya telah buat selama 7 tahun ini.

1. Mengajar subjek

Berikut adalah subjek-subjek yang saya pernah ajar semasa di MJHEP.

◆Creative Object 2
Semester 1 tahun 2012. Subjek pertama yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Mengajar pelajar kumpulan 1 MJHEP. Saya tidak hebat dalam programming tetapi mengambil cabaran tersebut dengan mengajar subjek ini. Saya banyak bertanya kepada pelajar kumpulan terakhir di Unisel tentang programming dalam subjek ini. Alhamdulillah, pengalaman yang bermakna dalam bidang bukan kepakaran. Subjek ini dilupuskan pada tahun berikutnya.

◆Introduction to Engineering and Computer Literacy (Bahagian Computer Literacy)
Semester 1 tahun 2012. Antara subjek yang saya tidak perlu belajar dan membuat persediaan untuk mengajar. Ajar Komputer iaitu Word, Excel dan Power Point kepada pelajar kumpulan 2 MJHEP. Mengajar dalam Bahasa Inggeris. Terlibat dalam mebantu pelajar untuk pertandingan Paper Car. Pengalaman sebagai engineer dan sumber rujukan kawan semasa di universiti dan semasa kerja banyak membantu. Subjek ini juga dilupuskan apabila silibus bertukar.

◆Creative Object 1 and Technical Drawing (Bahagian Technical Drawing)
Semester 2 tahun 2012. Mengajar Kumpulan 2 MJHEP. Saya mengajar bahagian Technical Drawing. Diajar dalam Bahasa Jepun. Tapi hand drawing sahaja. Masa ini saya tidak tahu yang ilmu design saya boleh bermanfaat kepada rakyat Malaysia lagi. Saya ingat saya sebagai engineer biasa, jadi pengetahuan saya sedikit sahaja ketika itu. Tapi dalam mengajar subjek ini sambil pelajar membina robot untuk MJHEP Robocon, ia sangat menyeronokkan.

◆Mechanics of Material 1
Semester 2 tahun 2012. Ajar batch 1 MJHEP. Saya dimasukkan dalam MJHEP bagi mengajar subjek ini. Alhamdulillah, pengalaman design engineer sangat membantu kerana Material dan Design tidak boleh dipisahkan. Mengajar pelajar dari asas apakah itu keseimbangan tenaga, stress, dan sebagainya.
◆Mechanics of Material 2
Semester pertama tahun 2013. Mengajar pelajar kumpulan 1 MJHEP untuk tahun akhir mereka di Malaysia. Lanjutan dari Mechanics of Material 1,  mengajar mereka SFD, BMD dan sebagainya. Ini tahun terakhir saya mengajar material dan bermulalah sebagai design lecturer.

◆Introduction to Engineering and Technical Drawing (Bahagian Technical Drawing)
Semester pertama tahun 2013. Kali ini saya mengajar subjek ini dalam bahasa Inggeris pula. Agak janggal kerana sudah terbiasa dengan mengajar design dalam Bahasa Jepun. Juga ada pertandingan Paper Car.

◆Machine Design 2
Bermula semester 2 2013 hingga kini. Mengajar dari pelajar batch pertama MJHEP hingga kini (batch 7). Oleh kerana saya banyak buat layout MJHEP, saya telah ditanya oleh bos saya adakah boleh mengajar subjek design. Saya kata sudah tentu, sebab itu bidang saya di Jepun dahulu. Lagi minat berbanding material. Tapi saya perlu mencari software dahulu. Alhamdulillah, saya dapat Software Microstation Student Version. Bolehlah saya ajar subjek ini. Saya lihat silibus yang diajar oleh expert dari Jepun sebelum ini, saya perhatikan ia banyak kelompongan berbanding dengan silibus Waseda University iaitu universiti saya dahulu. Saya buat balik, ubah dan ikut standard universiti saya dahulu kerana ia sangat berguna semasa bekerja. Paling best ialah apabila ada pelajar berkata pada awal sem susahnya buat CAD dan akhir sem dia kata tak nak guna lukisan tangan dah. Pengalaman mengajar pertama sekali CAD dalam Bahasa Jepun kepada orang Malaysia. Kepada orang Jepun dah biasa dah masa kerja ajar kepada junior selama 3 tahun dari 2019, 2010 dan 2011.

◆Machine Design 1
Machine Design 1

Semester 1 2013 hingga kini. Mengajar batch kedua hingga kini (batch 8). Saya mengambil alih dari dari pensyarah Jepun subjek ini. sebelum ini menggunakan lukisan tangan, tapi saya ubah ikut subjek Basic Drafting Waseda University secara amnya. Memuatkan silibus yang berlandaskan Japanese Industrial Standard dalam design. Saya cuba ajar dari basic kepada semua pelajar tentang pentingnya mengetahui undang-undang design ikut buku iaitu JIS kerana lukisan kita akan diiktiraf di seluruh dunia. Antara yang saya ajar ialah bagaimana hendak lukis bolt, memilih panjang bolt dan sebagainya.

◆Experiment in Mechanical Engineering 1
Mengajar dari semester 1 tahun 2013 hingga kini dari batch 1. Pada tahun pertama saya ajar DC motor bersama kawan saya dan sejak tahun 2015 saya mengajar topik Electrical Experiments. Saya ceritakan bagaimana elektrik terhasil dan bagaimana ia dijana, melalui grid-grid sampai kita guna. Ini adalah salah satu kepakaran yang saya ada kerana terlibat dalam design steam turbine yang menjana elektrik.
◆Experiment in Mechanical Engineering 2
Dari tahun 2013 semester 2 hingga kini dan mengajar dari Batch 1. Untuk batch 1 hingga 5 saya mengajar topik viscosity dan batch 6 hingga kini saya mengajar topik vibration.

◆Mechanical Engineering Workshop 1
Mengajar Lathe Machine
Dari tahun 2013 semester 1 hingga kini mengajar dari Batch 1. Mengajar pelajar tentang topik drilling dan Lathe hingga kini. Penggunaan lathe dan drill semasa degree tahun 4 di Waseda University banyak membantu.Mengajar dari semester 1 tahun 2013 hingga kini dari batch 1.  Topik yang saya ajar ialah Welding dari batch 1 hingga 6, dan batch 7 saya mengajar topik Machining Center.

◆Mechanical Engineering Workshop 2
Welding di MJHEP
Machining Center di MJHEP
Mengajar dari semester 1 tahun 2013 hingga kini dari batch 1.  Topik yang saya ajar ialah Welding dari batch 1 hingga 6, dan batch 7 saya mengajar Machining Center.
◆Introduction to Mechanical Engineering (Bab 5 Machine Design dan Bab 1 Mechanics and Vibration) 
Sejak 2017 short semester dan mengajar bahagian Machine Design, 2019 bertambah satu topik iaitu vibration.
◆Mechanical Vibration
Sejak semester 2 2019. Cabaran baru mengajar subjek yang dah 15 tahun tinggal. Tetapi pengalaman buat rotor dynamics calculation, pengalaman bersama Yamakawa Lab di Waseda University banyak membantu.

Sedar tak sedar, banyak juga subjek yang saya ajar. Alhamdulillah pengalaman sebagai jurutera rekabentuk turbin stim dan instruktor AutoCAD banyak membantu.Ini kerana pelbagai input dari pelbagai lapisan masyarakat dapat saya peroleh daripada menjadi instruktor AutoCAD di alam luar tersebut.

2. Membuat jadual peperiksaan

Pada awal saya bekerja sebagai pensyarah, saya dipertanggungjawabkan membuat jadual peperiksaan MJHEP. Alhamdulillah kemahiran Excel banyak membantu mengagihkan pensyarah supaya tiada ramai yang bertindih dan masa setiap orang menjadi invigilator adalah sama.
Satu ketika dahulu...

3. Membuat Pelan Bangunan MJHEP

MJHEP baru bermula di MARA Japan Industrial Institute (MJII) (Dulu Kolej Kemahiran Tinggi MARA Beranang) pada tahun 2011 bulan 8. Jadi ketika masuk pada April 2012 banyak lagi fasiliti yang tidak siap. Ketika itu saya telah membuat pelan bangunan tersebut dengan menggunakan Microstation. Rasa puas macam engineer juga apabila apa yang kita lukis menjadi kenyataan.
Layout office MJHEP yang saya buat pada 13 March 2013.. Guna Microstation

4. Membuat Silibus untuk MQA

Disebabkan MJHEP atau program JAD ini berpindah dari Unisel ke MJII dan kini berada di bawah UniKL, saya bersama rakan-rakan telah merangka silibus yang diiktiraf oleh MQA dan pada masa yang sama diiktiraf oleh universiti Jepun juga untuk tujuan pemindahan kredit apabila pelajar MJHEP masuk sebagai pelajar tahun 3 di Jepun.

5. Menjaga sistem Unit Peperiksaan dan Pensijilan

Saya dipertanggungjawabkan menjaga unit ini pada 2012-2015. Setiap kali musim periksa,  saya akan memasukkan kertas peperiksaan yang telah dicetak kedalam sampul, mengasingkan ikut subjek dan akan memasukkan ke dalam beg yang akan diambil oleh penjaga peperiksaan. Selepas tamat, saya akan memberikan kertas tersebut kepada pensyarah terlibat dan akan mengemaskan kembali bilik.

6. Mambantu Expert dari Jepun untuk Short Semester

Saya membantu pensyarah jemputan dari Jepun untuk subjek Engineering Mechanics untuk membuat soalan, dan fail subjeknya pada tahun 2013-2014.

7. Membuat dan menjaga sistem penjadualan, peperiksaan, pendaftaran dan pensijilan (Unit 4P)

Tahun 2016 hingga 2018 saya dipertanggungjawabkan membuat jadual kelas pula. Di sini saya mula menghafal di mana kelas, bila masa kosong, bila bilik komputer kosong, dan sebagainya untuk mengatur jadual waktu pembelajaran ketiga-tiga bacth MJHEP iaitu Matrik, U1 dan U2. Kerja-kerja pendaftaran, peperiksaan dan pensijilan pula adalah secara berkala dan tertumpu di musim peperiksaan sahaja.

Email dwi bahasa seperti ini saya akan hantar sebagai pemberitahuan jadual waktu MJHEP

8. Menjadi ketua unit Pembangunan Akademik dan Fasiliti

Sejak Jun 2018, saya dipertanggungjawabkan menjaga pembangunan staf akademik dan fasiliti. Mungkin kemahiran menggunakan CAD menyebabkan saya akan menjaga bahagian buat layout ini. Tapi ini adalah kelebihan bila kita mempunyai banyak kemahiran. Mungkin akan bermanfaat kepada organisasi dan sebagainya. Bagi pembangunan staf saya bertanggungjawab mereka cukup 7 hari kursus setahun.
Pelan MJHEP yang saya buat
Menggunakan AutoCAD membuat pelan kelas dan bilik pensyarah

9. Membantu pelajar untuk membuat karangan untuk borang permohonan ke universiti

Kerja ini tiada bagi pensyarah di universiti di Malaysia. Ini kerana untuk menghantar permohonan kemasukan universiti di Jepun, setiap pelajar hendaklah menulis karangan dalam bahasa Jepun kenapa mereka hendak masuk universiti tersebut dan apa perancangan mereka. Jadi saya akan menasihatkan mereka secara teknikal untuk merealisasikan karangan tersebut supaya betul dari segi kandungan dan tatabahasanya.

10. Menjadi Penyelia Final Year Project (FYP)

Bermula dari Batch pertama hingga kini. Saya jadikan ini medan untuk mengajar kemahiran CAD, penggunaan Word, Excel, Power Point kepada pelajar saya. Juga saya kongsikan secara menyeluruh perkongsian hidup dan kerjaya sebagai jurutera di Jepun. Semoga bermanfaat kepada semua.

FYP Zulfahmi LAB batch 4, 5, 6 MJHEP

11. Menjadi panel temuduga untuk latihan pelajar ke University Entrance Examination

Temuduga kemasukan ke universiti akan diadakan pada bulan 11 setiap tahun. Saya akan menjadi panel latihan temuduga sebelum itu untuk memastikan pelajar berjaya masuk ke universiti Jepun. Saya akan bertanya tentang bidang mechanical seperti soalan asas material, thermo dan sebagainya.

12. Memberikan seminar Technical Drawing, Project Management untuk FYP

Dari awal hingga kini, jika ada perkara melibatkan lukisan saya akan dipertanggungjawabkan. Jadi saya akan membuat seminar Technical Drawing kepada semua pelajar MJHEP termasuk pelajar kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.  Juga dipertanggungjawabkan memberi taklimat tentang Project Management. Jadi pengalaman bekerja sebagai engineer serta pernah menjadi main engineer projek Reykjanes Geothermal Turbine banyak membantu.

13. Menjadi Mentor dalam program Mentor Mentee

Mentor mentee adalah program di mana setiap pensyarah ada 5-8 orang pelajar di bawahnya. Saya telah dilantik menjadi mentor kepada pelajar batch 4, 6, dan kini batch 8 MJHEP. Macam biasa saya suka berkongsi pengalaman bekerja dan semasa di Jepun semasa belajar dan bekerja kepada mereka. Saya berharap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka di sana. Tapi kenangan yang paling saya ingat ketika menjadi mentor ialah apabila seorang student (mentee saya) memangggil saya untuk ke kelas membaiki software AutoCAD beliau yang tidak berfungsi. Saya ingat betul-betul rupanya mentee saya buat kejutan untuk hari jadi saya yang ke 34 iaitu pada Januari 2017. Terima kasih semua.

Kejutan 3 hari selepas hari lahir ke 34

14. Menjadi penasihat bahagian IT mewakili pensyarah tempatan

Saya bukan pakar Information Technology, tetapi saya suka buat komputer sendiri di Jepun dahulu. Jadi pengalaman membuat dan memasang komputer dari mother board, RAM, CPU dan sebagainya sangat berguna untuk saya memahami sistem komputer. Sebab itu di pejabat kalau ada masalah berkaitan hardware atau software komputer (termasuk Word, Power Point dan Excel), saya sentiasa dicari untuk dirujuk. Alhamdulillah, bila kita membantu orang, banyak kita pelajari untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Jadi disebabkan itu saya dilantik sebagai penasihat IT bagi mewakili pensyarah tempatan.

15. Membantu pelajar membuat recommendation letter untuk subjek latihan industri

Setiap tahun pelajar MJHEP akan ke kilang-kilang atau syarikat-syarikat untuk latihan industri. Pelajar MJHEP mengambil tempoh yang paling sedikit iaitu 2 bulan kerana kekangan masa. Untuk itu mereka perlu menyediakan surat sokongan atau recomendation letter untuk dihantar kepada syarikat tersebut. Saya dan pensyarah tempatan akan membantu mereka menulis Resume dengan betul serta membuatkan surat sokongan tersebut.

16. Menyertai kursus dan latihan

Bersama guru Catia di MARii (Semasa training Catia Advanced)
Kursus dan latihan ini perlu kami sertai selama 7 hari setahun. Saya mengambil peluang ini untuk menyertai pelbagai kursus. Ada kursus inovasi dan saya juga menyertai kursus kemahiran seperti CATIA dan Excel Advance. Alhamdulillah, boleh juga jadi pelajar terbaik dalam kedua-dua kursus tersebut kerana pengalaman yang ada. Di samping itu ada juga kursus-kursus yang hanya mendengar percakapan sahaja dan sebagainya. Di Jepun dahulu saya juga suka menyertai kursus untuk meningkatkan kemahiran diri seperti ANSYS, PAM CRASH, AUTOCAD, PRO E, dan sebagainya.

17. Menjadi Penasihat Kelab Robotik

Saya mengambil tanggungjawab menjadi penasihat kelab pada April 2019. Banyak yang saya perlu belajar lagi tentang robotik terutama programming. Ini kerana semasa menyertai pertandingan Robotik di UniKL MFI, saya tidak dapat menasihati pelajar tentang programming. Tentang design, insya Allah saya dapat membantu. Insya Allah akan diperbaiki selepas ini.
Pertandingan Robotik di UniKL MFI

18. Menjadi salah seorang penasihat Kelab Motorsport

Saya hanya menjadi salah seorang penasihat tetapi tidak aktif. Jika ada pertanyaan tentang design, insya Allah saya dapat membantu.

19. Melawat pelajar semasa latihan industri

Pada minggu terakhir pelajar tamat latihan industri, saya dan pensyarah tempatan yang lain akan melawat pelajar di kilang-kilang atau syarikat mereka bekerja. Di sini juga pertukaran pendapat dengan supervisor-supervisor dari kilang dapat dilakukan dan ia menjadi satu input kepada kami pensyarah untuk menambahbaik apakah ilmu yang perlu disampaikan kepada pelajar.
Lawatan ke UniKL MIAT

20. Menyertai pertandingan inovasi

Dua kali saya menyertai pertandingan inovasi pada 2019. Satu daripadanya ialah pertandingan MARATex tetapi hanya pada peringkat saringan dan satu lagi IMU IIInovasi Competition 2019 dan memperolehi silver medal.

IMU IIInovasi Competition 2019

21.Menghantar pelajar ke Jepun

Mewakili MJHEP bermesyuarat dengan wakil universiti-universiti di Jepun
Yang ini paling best tetapi mungkin sekali sahaja dapat peluang ini kerana akan bergilir dengan pensyarah-pensyarah tempatan. Apabila menghantar pelajar, antara tugasan kami ialah menghadiri mesyuarat bersama universiti-universiti Jepun. Kiranya kita mewakili Malaysia untuk bermesyuarat dengan deligasi Jepun untuk penambahbaikan program kerjasama Malaysia Jepun ini. Alhamdulillah, semasa mesyuarat yang saya sertai pada 2018, banyak saya dapat fahamkan tentang program ini kepada universiti Jepun. Dalam masa yang sama, saya juga akan membantu pelajar menggunakan sistem keretapi, bas, dan apakah makanan yang halal atau tidak di Jepun. Pengalaman juga akan dapat membantu mereka. Saya harap dapat pergi lagi ke Jepun atau mana-mana negara lagi selepas ini kerana banyak pengalaman baru akan diperolehi. Di Jepun dulu saya pernah dihantar ke Shanghai dan Muelheim di Jerman.



Penutup

Alhamdulillah, sepanjang menjadi pensyarah ini banyak juga yang saya mengajar dan belajar. Dulu masa balik dari Jepun saya rasa mungkin saya tidak akan lama menjadi pensyarah, tetapi bila balik, saya fikir adalah bagus juga saya membina bangsa ini. Bezanya dengan jurutera atau engineer ialah dulu saya menghasilkan steam atau geothermal turbine untuk memberikan manfaat tenaga elektrik kepada manusia, kini saya menghasilkan modal insan yang akan memberikan manfaat kepada pembangunan dan permodenan dunia khususnya di Malaysia dan Jepun. Saya gembira kerana ramai pelajar saya mengikuti jejak saya mencari pengalaman di Jepun, dan apabila balik nanti jom kita buat bekerjasama menaiktaraf Malaysia supaya menjadi negara yang mempunyai sistem yang baik seperti di Jepun. Kita buktikan yang graduan universiti dari Jepun setaraf atau lebih baik dari mana-mana graduan di dunia, insya Allah.

Semoga apa yang saya sampaikan ini bermanfaat kepada semua. Dan jangan lupa jika hendak mempelajari AutoCAD ikut standard JEPUN, carilah Mirai Techno. Insya Allah saya akan dapat membantu.

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN
Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal MJHEP
Instruktor AutoCAD Mirai Techno
Bekas steam dan geothermal turbine design engineer Fuji Electri Co., Ltd