Kursus Akan Datang oleh Mirai Techno Enterprise

  • Kursus Asas AutoCAD 2D (20-21 Julai 2019)
  • Kursus Advance AutoCAD 3D (3 - 4 Ogos 2019)

Sunday, July 28, 2019

Pentingnya Ilmu Untuk Memacu Ekonomi Negara


Saya bukan pakar ekonomi malah bila baca journal ekonomi yang isteri saya baca untuk buat PhD nya pun saya boleh mengantuk dan tidak faham. Tapi walau tidak faham macam mana pun, kita harus menyelidik sedikit sebanyak tentang ekonomi ini kerana ia akan menjadi sumber kekuatan negara dan yang akan menjadi salah satu kekuatan umat Islam di dunia secara global. .

Ekonomi dari Perspektif Bekas Jurutera Rekabentuk Turbin Stim

17 Mac 2017

Sebagai orang yang pernah bekerja di dalam bidang industri, kelancaran perjalanan sesebuah syarikat bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. Semasa saya bekerja di Fuji Electric bahagian pembuatan turbin dahulu, saya perhatikan keadaan ekonomi yang baik akan menyebabkan kami mendapat order yang banyak. Order atau projek yang banyak ini akan membuatkan kami sibuk tetapi dalam masa yang sama dapat mendidik orang baru untuk membuat reka bentuk turbin. Jika tiada tempahan, kami hanya bekerja untuk projek yang sedang berjalan dan susah untuk melatih pekerja baru dari kosong.

Lehman Brother Crisis.


Kebetulan saya masuk 2008 dan pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 2009, berlakulah Lehman Brother Crisis atau kami panggil sebagai レーマンショック (Re-man syokku). Pada tahun 2009, Fuji Electric tidak terkecuali menerima tempias sehingga ada pekerja dari bahagian lain dipindahkan ke bahagian pembuatan turbin ini tidak kira geothermal atau stim. Kenapa ini berlaku?

Sebab utama saya tidak pasti, tetapi yang dimaklumkan ialah bahagian-bahagian lain dalam Fuji Electric seperti yang terlibat dengan pembuatan vending machine, komponen-komponen elektrik yang kecil mengalami penurunan tempahan barangan dan akaun mereka mengalami kerugian, maka pekerja banyak tiada kerja tetapi gaji perlu dibayar. Untuk itu mereka dihantar ke bahagian kami.

Bagi steam turbine department ini, margin keuntungan atas sesuatu projek tidak besar, sekitar 3% hingga 7 % atas sesuatu projek. Sebagai contoh jika kos sesebuah projek itu bernilai 1,500,000,000 yen (15 oku Yen = RM57.14 Juta), maka harga jualan akan sekitar1,545,000,000 Yen iaitu tambahan 3 % daripada harga kos. Tambahan 45 juta Yen tersebuat jika ditukar kepada RM ialah RM 1.71 juta. Jadi ia boleh dianggap tinggi.

Bagi komponen elektrik pula, mereka banyak menjalankan mass production. Jadi kos dapat dikurangkan. Biasanya mereka akan menjual dengan 2 kali ganda dari harga kos. Bermakna keuntungan mereka sekali ganda. Sebagai contoh jika kos membuat satu cip ialah 50 yen (RM1.90), mereka akan menjual dengan harga 100 Yen (RM3.80). Jadi keuntungan ialah 100%. Tetapi nilai ini adalah sangat kecil berbanding keuntungan menyiapkan satu projek turbin. Mereka perlu menjual banyak cip untuk menyamai keuntungan sesebuah projek turbin penjana elektrik. Jika tiada langganan dari pembeli, mereka akan sangat terkesan. Ini yang berlaku pada  tahun 2009 di mana banyak langganan dibatalkan dan langganan baru tiada. Kalau dikira, untuk mendapatkan keuntungan sama dengan 1 projek turbin, mereka perlu menjual 900,000 unit chip. Jika dibatalkan atau tiada langganan baru memang sangat terasa.

Kestabilan pembuatan infrastuktur.


Berbanding bagi department kami yang membuat infrastruktur, biasanya sesuatu projek mengambil masa 2-3 tahun untuk disiapkan. Jadi apabila kegawatan ekonomi berlaku, ia jarang memberi kesan secara langsung kerana projek yang sedia ada masih boleh berjalan. Tetapi, jika ada tempahan walaupun 3 atau empat tempahan, ia sudah cukup besar berbanding dengan cip. Ini adalah kelebihan pembuat infrastruktur seperti pembuat sistem untuk yang menjana elektrik ini kerana gawat macam mana pun, biasanya orang masih memerlukan elektrik. Dan biasanya pula banyak juga syarikat atau kilang yang membuat tempahan turbin untuk menjana elektrik di kilang mereka. Projek ini kecil sahaja tetapi disebabkan order made iaitu melakukan design baru apabila menerima tempahan, ia banyak juga memberikan keuntungan. Itu adalah contoh bisnes yang kami buat. Berbanding dengan syarikat lain seperti Siemens yang mempunyai katalog, pelanggan boleh memilih dari situ, tetapi kami sedia menerima tempahan khas. Jadi kami akan design dari kosong, dan jika ada reference dari sebelumnya, kami boleh jadikan ia sebagai rujukan. Dan memang target kami adalah dalam pasaran small and medium capacity steam turbine (sehingga 600MW).

Semasa saya pergi ke Siemens pada tahun 2011, ketika saya berborak dengan pengajar Rotal Madyn kepada saya, mereka juga berkata bahagian yang paling stabil dalam Siemens ialah bahagian Energy mereka. Dan bahagian energy inilah yang menampung kerugian bahagian lain. Biasalah, saya ni suka ambil tahu hal orang lain. Hehe..

Pusingan Ekonomi


Yang berdaftar di Majlis Perbandaran layak memohon


Sebenarnya pusingan ekonomi sangat penting untuk memastikan syarikat-syarikat boleh hidup. Sebab itu pada tahun 2009, saya telah mendapat BRIM dari kerajaan Jepun (定額給付金: teigaku kyuufukinn). Setiap rakyat (yang berdaftar dengan City Council) akan menerima 12,000 Yen (RM454.82). Yang berusia 18 kebawah atau 65 tahun ke atas pula akan menerima 20,000 Yen ketika itu free-free aja.Tujuan kerajaan Jepun berbuat demikian pada ketika itu ialah dengan pemberian 2 chou 395 oku 1300 man yen atau 2,039,513,000,000 Yen atau dengan bahasa mudahnya 2.039 trilion Yen  bersamaan RM77,301,638,450 (RM77 bilion) kepada penduduknya supaya duit itu boleh berpusing dan kerajaan Jepun dapat mengutip cukai terutamanya cukai GST Jepun iaitu  消費税 (Shouhizei) yang bernilai 5% dari setiap lapisan jualan kerana kerancakan orang membeli. Tetapi, tindakan itu boleh dikatakan berjaya 50% sahaja kerana orang Jepun buat simpanan kecemasan duit tesebut. Nanti GST Jepun naik 10% pula. Lagi mahal tapi saya yakin harga asas onigiri masih 100 Yen dan akan naik dari 108 Yen (8%) ke 110 Yen (10%) sahaja.

Dalam perdebatan parlimen di Malaysia tahun lepas, saya perhatikan menteri kewangan sendiri mengakui GST lebih baik dari SST, tetapi kenapa yang tidak baik dan mempunyai kelopongan diguna pakai kembali sedangkan negara lain tidak membuat u turn tentang GST ini. Dan dalam akhbar Utusan juga beliau mengakui GST lebih telus. Biasanya jika ada dua mudarat,kita akan memilih mudarat yangkecil dan jika ada dua kebaikan kita akan memilih kebaikan yang besar. Tetapi ini tidak untuk kes GST di mana yang lebih telus tidak dipilih. Sebab itu pendapatan kerajaan berkurang dan ini  akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

 

Untuk merancakkan ekonomi, sebab itulah perlunya berlaku pusingan wang dalam pasaran. Pembeli yang ada wang membeli, pada ketika ini kerajaan akan menerima cukai dari pungutan GST, dan peniaga juga ada modal yang lebih besar untuk membeli kerana jualan mereka rancak dan apabila setiap pembelian berlaku, kerajaan semakin banyak dapat duit. Duit yang didapati dari sistem ini kerajaan jangan simpan, sebaliknya melaburlah untuk rakyat.

Di sini saya lihat Jepun pandai mengambil peluang. Contohnya dengan melobi untuk menjadi tuan rumah Olimpik sejak 2008 lagi. Dan mereka dapat pada 2020. Ini membuatkan mereka menjadi tumpuan dunia dan ramai pelancong akan datang ke Jepun. Bila pelancong datang, mereka akan menggunakan duit dan ini menyebabkan ekonomi mereka rancak. Hutang mereka jauh lebih tinggi dari Malaysia dan hutang mereka sudah melebihi 200% dari jumlah pendapatan negara mereka, tetapi jika penting untuk rakyat, mereka sanggup melabur. Itu adalah tugas pemerintah yang harus dijalankan kerana amanah dari rakyat yang memilih. Pada Tokyo 1964, mereka telah membangunkan Shinkansen (bullet Train) serta lebuhraya bertingkat dalam Tokyo (syutokou) dan kini mereka mengambil peluang untuk membangunkan linear motorcar atau lebih terkenal dengan Maglev.
Series L0.JPG

Pentingnya Ilmu Ekonomi


Oleh itu ilmu untuk menguruskan ekonomi sangat penting. Ia tidak boleh dilakukan oleh orang yang tiada pengalaman apatah lagi tiada pengetahuan ekonomi macam saya. Tetapi, walau kita tidak mahir, kita harus juga mengambi tahu kerana kekuatan ekonomi akan menguatkan agama, bangsa dan negara kita. 

Secara teori, mungkin kalau kita menyimpan, semakin banyak kita ada duit, tetapi selagi ekonomi tidak berkembang, kuasa membeli rakyat juga tidak akan berkembang dan ini akan menjadikan wang tidak berpusing dan akan menjadikan kekuatan ekonomi kita tidak bertambah. Oleh itu adalah penting kepada kita untuk melabur dalam bidang yang boleh meningkatkan keupayaan negara seperti pembuatan yang menjadikan negara kita boleh mengeluaran barangan dan tidak bergantung kepada luar. Atau pun meningkatkan taraf perhubungan negara seperti projek ECRL, HSR dan sebagainya dan jika boleh hubungkan seluruh negara dengan jaringan keretapi.

Jika boleh segala perjanjian juga harus dilakukan dalam RM atau MYR. Ini seperti yang dilakukan oleh syarikat saya dahulu di mana semua projek dipersetujui untuk dibayar dalam Yen. Ini menyebabkan jika apa-apa berlaku pada pertukaran matawang, syarikat tidak akan terjejas. Sebagai contoh, jika yen menguat 1 yen, akaun Toyota akan minus sebanyak 40,000,000,000 Yen atau RM1.516 bilion kerana perjanjian banyak dibuat dalam USD.


Penutup


Akhir kata, saya berharap negara kita akan dipacu oleh orang benar-benar mempunyai kelayakan dalam bidang ekonomi kerana ekonomi perlu dipelajari dan dipraktikkan. Dasar ekonomi seharusnya menjadi agenda yang penting untuk memajukan negara menjadi NEGARA MAJU. Dasar pandang ke timur pada asalnya ingin pandang ke Jepun, dan jika ia dipraktikkan, mungkin ramai menteri akan letak jawatan jika rasa tidak layak dengan rela hati jika mereka rasa tidak mampu memegang jawatan berikut. Perasaan bertanggungjawab ini adalah sangat penting. Dan ini akan membawa negara kita menjadi lebih baik. Harapnya yang terbaik dalam bidang akan dipilih untuk menerajui negara.

Semoga sedikit perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita.

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN