Kursus Akan Datang oleh Mirai Techno Enterprise

  • Kursus Asas AutoCAD 2D (20-21 Julai 2019)
  • Kursus Advance AutoCAD 3D (3 - 4 Ogos 2019)

Monday, August 26, 2019

TUNJUKKAN KESUNGGUHAN KETIKA MENCARI KERJA


Jepun merupakan negara yang boleh dikatakan maju atau advanced dari segi teknologinya. Sebagai contoh, banyak sistem yang menggunakan IT ada di Jepun yang masih belum diperkenalkan di Malaysia seperti sistem booking main boling di Round One yang boleh tengok live berapa ramai sedang beratur untuk bermain boling, sistem pembelian tiket Disneyland yang boleh dilakukan di mana-mana Lawson, sistem sewa kereta yang membolehkan kita sewa di tempat lain dan hantar di tempat lain (Toyota mahupun Nippon Ren a Car) dan sebagainya. Ini adalah untuk kemudahan rakyatnya. Akan tetapi masih ada yang Jepun masih kekalkan secara manual iaitu jika kita memohon kerja tidak kira untuk part time atau kerja tetap sekalipun, kita diminta menulis Resume atau CV secara manual.

履歴書 (Rirekisyo : Resume)

Contoh Resume dalam Bahasa Jepun
Rirekisyo atau Resume ini akan dijual di mana-mana kedai serbaneka atau convinience store seperti 7 Eleven, Family Mart, Lawson, Circle K, Three F, atau kedai buku, department store seperti Seiyu, AEON, SATY di bahagian alat tulis dan sebagainya. Jika kita mahu memohon kerja di Jepun, kita hendaklah membawa resume yang merupakan kertas sekeping yang diisi dengan tulisan tangan kita.

Pelbagai jenis dan saiz Rirekisyo

Sampul surat juga dibekalkan


Saya pernah melakukan pelbagai kerja sambilan di Jepun. Jika kerja itu tidak lama seperti kerja menjaga peperiksaan awam atau mengangkat barang untuk pindah rumah sehari atau untuk mengutip sampai yang diperkenalkan oleh kawan dan senior saya, resume tidak perlu dihantar. Akan tetapi jika kerja sambilan itu tetap seperti yang saya cari melalui seksyen hal ehwal pelajar di Universiti Waseda, saya perlu menghantar resume ini. Dan gambar di atas adalah gambar yang saya scan daripada salinan yang original ketika saya memohon kerja di Fuji Electric.

Kenapa tulis pakai tangan?

Ada banyak sebab kenapa seseorang yang ingin bekerja diminta menulis sendiri resume dengan menggunakan tangan. Saya bahagikan sebab utama itu kepada dua. Pertama ialah menunjukkan kesungguhan dan kedua membolehkan bakal majikan menilai kesungguhan pemohon.

Kesungguhan Dalam Memohon

Dalam dunia, jika kita ingin sangat tentang sesuatu, kita akan melakukannya secara bersungguh-sungguh. Dan kesungguhan kita dapat kita terjemahkan melalui gaya penulisan kita ketika menulis resume ini. Jika kita hendak betul-betul pastilah kita akan tulis dengan secantik yang mungkin untuk menawan hati pembaca. Jadi ini melatih kita menulis sendiri dan kita tahu apa yang kita tulis. Dan ini mungkin akan ditanya ketika temuduga atau interview nanti.

Sebenarnya, selalin masa meminta kerja, semasa kita berdoa dengan Allah memohon sesuatu pun jika kita bersungguh-sungguh dan sambil lewa pun berbeza. Sebagai contoh jika kita bersungguh-sungguh kita akan bersolat hajat, solat tahajjud dan diikuti dengan doa dan dilakukan setiap hari. Masa SPM  di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) dulu memang saya ingat banyak lakukan perkara ini. (Nampak sangat masa tersebut nak sangat score sebab belajar memang last minit dan SPM ini akan membuka jalan pada masa hadapan).. Alhamdulillah Allah berikan juga kejayaan kerana kesungguhan ketika itu dengan mendapat result 9A 1B di mana ketika itu pada tahun 2000 dengan keputusan itu dapatlah berada top 400 dalam Malaysia (jumlah yang dapat 9A dan ke atas dalam 420 lebih mengikut surat khabar yang saya baca ketika itu), kerana dahulu yang straight A tak seramai sekarang. Jika kita sambil lewa mungkin kita berdoa "Ya Allah, berikan lah apa yang aku minta semalam dan hari sebelum itu", ayat contoh yang Ustaz sentiasa berikan ketika di kelas dulu.. hehe.

Tapi dengan menulis dengan tangan ini, kesungguhan kita boleh diterjemahkan terus dengan gaya penulisan kita. Sesiapa yang tulisan tidak cantik pun, boleh menulis dengan perlahan dan tulis secantik yang mungkin. Ini akan memberikan first impression yang baik kepada penemuduga nanti..

Penilaian Bakal Majikan 

Dengan resume ini akan dibaca ketika temuduga, mudah untuk bakal majikan melontarkan soalan. Dan jika ia ditulis sendiri oleh pemohon, maka beliau akan mudah untuk menjawab apa yang ditanya. Ini sememangnya akan membantu bakal majikan untuk menilai kesungguhan pemohon tersebut sama ada benar-benar nak bekerja atau tidak. 

Bukan untuk bekerja sahaja, borang permohonan kemasukan ke Universiti di Jepun juga kebanyakannya masih menggunakan borang manual. Malah kesemua universiti dalam Japan University Group (JUG) yang mempunyai 24 universiti di dalamnya yang merupakan rakan kongsi Yayasan Pelajaran MARA dalam program Malaysia Japan Higher Education Programme (MJHEP) juga masih menggunakan borang manual. Jadi kami warga pendidik bukan sahaja mengajar mereka tentang disiplin dalam engineering, malah kami juga akan membantu mereka mengisi borang permohonan yang dalam Bahasa Jepun sepenuhnya. 

Dan selepas itu akan ada sesi latihan temuduga yang kami akan lakukan kepada semua pelajar dengan harapan agar mereka semua dapat lepas dengan cemerlang dalam sesi temuduga sebenar kemasukan ke universiti Jepun yang biasanya diadakan pada bulan November setiap tahun. Dalam sesi latihan tersebut, kesungguhan pelajar dapat dilihat melalui gaya penulisannya, adakah mereka faham apa yang mereka tulis dan sebagainya. Ini juga akan terjadi ketika memohon kerja. Tapi bila di jepun semua sudah perlu dilakukan sendiri, tiada lagi lecturer akan ajar bagaimana hendak isi borang dan bagaimana nak interview dan sebagainya. Tapi mudah-mudahan, berkat sedikit sebanyak usaha yang dilakukan di MJHEP ini mungkin akan membantu mereka di alam pekerjaan nanti.

Berikut adalah contoh borang yang saya isi semasa hendak masuk Waseda University pada tahun 2003. Jika tengok balik saya nak ambil bidang automotif rupanya dulu, dan nak bekerja di Proton. Haha. Tapi bila kita belajar, macam-macam bidang baru kita nampak dan di situlah terbukanya saya menceburi bidang pembangunan infrastruktur iaitu sistem penjana elektrik.
Kenangan mengisi borang Waseda University
 

Apa yang kita tulis dalam Resume atau Rirekisyo Ini?


Dalam Rirekisho, pada muka surat pertama kita akan tulis maklumat peribadi dan maklumat persekolahan dan pada muka surat kedua kita akan tulis kenapa kita nak bekerja di situ dan kelebihan kita dan sebagainya. Berikut adalah contoh apa yang saya tulis dengan detail dalam rirekisyo saya.

Muka surat pertama

Maklumat peribadi dan maklumat persekolahan. 

Muka surat depan

Maklumat peribadi seperti Nama, alamat, tarih lahir, no. telefon dan email serta gambar boleh perlu diidi dan ditampal di sini. Di Jepun untuk mengambil gambar sangat mudah. Di mana-mana ada photo both yang boleh kita pergi untuk ambil gambar. Bukan susah, kita pakai kot baju kemeja dan necktie sahaja sudah ok kerana kita akan ambil sendiri gambar. Biasanya 4 gambar dalam 500 yen dan kalau ditukar jadi lebih kurang RM20. Tapi di Jepun jika kita dapat gaji atau biasiswa rate Jepun macam RM5 sahaja. Tentang pembayaran jangan risau sebab kita boleh bayar dengan syiling atau boleh bayar pakai duit paling besar di Jepun iaitu wang kertas 10,000 Yen dan baki akan dipulangkan.
Ini adalah kemudahan yang paling best kat Jepun, pasti ada duit pulang.
Contoh Photo Booth


Untuk bahagian persekolahan, jika boleh saya ingin isi semua tetapi disebabkan kekangan ruang saya hanya isi dari sekolah rendah. Tetapi itu pun saya tidak dapat isi semua kerana saya pindah sekolah masa darjah 3, jadi saya tipu sunat dengan tulis bersekolah di Sekolah Kebangsaan Atas Tol dari darjah 1 sedangkan darjah 1 dan 2 di Sekolah Rendah Sultan Ismail di Kemaman. Hehe.
Kenapa ia penting, kerana untuk bekerja kita perlu bersekolah sekurang-kurangnya 11 tahun yang merupakan syarat wajib dalam mana-mana syarikat di Jepun. Kecuali jika kita belajar sehingga Middle High School dan terus bekerja, ia juga boleh tetapi nilai gaji dan gred gaji akan berubah.

Muka surat kedua 


Pada muka surat kedua pula terbahagi kepada 6 seksyen iaitu kenapa hendak masuk syarikat, subjek kegemaran dan tajuk tesis, sukan atau kelab, hobi dan kemahiran, serta kelebihan diri dan lesen. Berikut adalah sedikit penjelasan tentang perkara tersebut.

1. Kenapa Hendak Masuk Syarikat


Saya sebenarnya tidak ada idea sangat nak tulis ketika itu tetapi saya tulis saya suka syarikat yang global. Kalau baca balik asyik ulang perkataan global (グローバル的)sahaja. Hehe. Tapi ini mengundang pertanyaan ketika interview dan alhamdulillah saya boleh menjawabnya dengan baik. Kerja menggoreng jawapan juga. Tetapi berfakta dengan menyelidik bidang yang Fuji Electric buat apa dan apa yang mereka buat secara global. Di situ saya memang ada terbaca mereka kuat dalam Geothermal Turbine dan saya jadiakan ia modal semasa interview.

2. Subjek kegemaran dan tajuk tesis


Subjek kegemaran saya tulis Matematik, English dan CAD, sebab saya yakin jika mereka bertanya tentang itu. Matematik memang saya suka dan antara subjek yang tidak pernah B dari sekolah rendah, English saya tahu orang Jepun tidak berapa fasih dan CAD memang saya suka. Jika ditanya tentang ketiga-tiga subjek ini insya Allah saya akan dapat jawab.
Dan di bahagian tajuk tesis saya tulis tajuk tesis semasa master iaitu Crashworthiness Analysis iaitu analysis perlanggaran kereta. Insya Allah jika ditanya tentang ini saya akan jawab dengan mudah sebab memang saya buat.

3. Sukan atau kelab

Sukan saya mesti tulis bola sepak sebab dulu memang saya main bola sepak. Saya tulis saya mewakili pasukan bola sepak pelajar asing Waseda University. Di situ saya tambah yang saya menjadi center back dan sentiasa mempertahankan pasukan dari belakang. Saya juga nyatakan saya dapat mempelajari bakat kepimpinan dan kemahiran bekerja secara berpasukan semasa menjadi pemain bola sepak tersebut.

4. Hobi serta kemahiran

Hobi dan kemahiran saya nyatakan 3 perkara iaitu PC, sukan dan memandu. Saya nyatakan kemahiran saya iaitu membuat PC secara mengumpulkan alat-alat dan sejak datang ke Jepun saya telah membuat lebih 10 PC untuk kawan dan junior saya di universiti. Memandu sebab saya dah beli Volvo S60 ketika itu.. dan sukan jika ditanya saya mampu jawab banyak perkara seperti bola sepak, ragbi, olahraga, badminton, tenis dan sebagainya yang merupakan mainan harian saya di internet dan tv semasa belajar. Tanya aja mesti saya boleh jawab dengan detail ketika itu. Haha.

5. Kelebihan diri

 Kelebihan diri saya nyatakan ialah daya ingatan. Alhamdulillah Allah telah memberikan saya mudah untuk mengingat. Di Jepun saya perhatikan orang Jepun mesti guna 手帳 (techou : buku nota macam diari), jadi saya nyatakan yang saya boleh mngingati sesuatu tanpa buku nota. Dan masa interview mereka juga bertanya kepada saya apa lagi saya boleh ingat, saya nyatakan semasa di Malaysia sebelum datang ke Jepun, saya antara pelajar Japanese Associate Degree yang tiada handphone dan saya boleh ingat nombor telefon hampir kesemua kawan saya. Dan saya juga mampu ingat tarikh hari jadi kawan-kawan saya.
Kini saya sebagai pensyarah MJHEP saya boleh mengingati nombor JAD pelajar-pelajar yang saya ajar. Kadang-kadang bila tengok pelajar, nombor pelajar mereka datang dahulu, lepas itu baru saya boleh recall nama mereka.
Dan sebab itu rasanya apabila saya belajar software atau hardware saya mudah mengingati cara-caranya. Jadi ia sangat membantu sepanjang karier saya sebagai jurutera, pensyarah dan instruktor AutoCAD ini. 

6. Lesen 

Lesen saya tulis lesen kenderaan di Malaysia dan Jepun, lesen antarabangsa dan TOIEC sahaja. Jika saya terfikir ketika itu mungkin saya letak yang saya ada lesen PAM Crash atau Nastran atau AutoCAD Certified User ketika itu.. tapi tak apa, alhamdulillah dah dapat kerja tersebut.

Kertas Dari Bahan Kitar Semula atau Recycle Paper

80% adalah dari kertas recycle

Akhir sekali bahagian bawah terdapat ayat yang menyatakan bahawa kertas yang digunakan untuk membuat kertas Rirekisyo ini adalah 80% datang dari recycle. Jadi ini menunjukkan keprihatinan Jepun dalam menangani masalah alam sekitar ini.

Apa yang kita boleh pelajari

Disebabkan Jepun masih mengekalkan cara manual masalah adab yang tidak betul semasa memohon kerja dapat diatasi. Di Malaysia kadang-kadang dekat Facebook kita ada terbaca tentang adab pemohon kerja yang tidak betul. Saya tunjuk dan ulas dua contoh di bawah.

Kes 1



Mesej ini tular dalam Facebook saya dan jika saya majikan juga saya akan reject permohonan ini. Ini adalah kerana nampak tidak serius ketika menjawab. Sekurang-kurangnya kita menjawab dengan ayat yang penuh, dan salam harus dijawab juga dengan penuh sebab sebagai pemohon, ayat kita hendaklah seskema yang mungkin. Mungkin boleh jawab seperti berikut:

Waalaikumussalam wbt Puan Farhanah. Terima kasih kerana memanggil saya untuk interview. Insya Allah saya boleh datang pada hari Isnin ini. Untuk itu, boleh Puan kongsikan lokasi untuk temuduga tersebut. 

Jika saya sebagai peminta kerja, saya akan tulis seperti ini.

Kes 2


Perbualan ini juga lalu dalam wall Facebook saya. Jika diperhatikan pemohon tidak bersungguh-sunggu membaca details pada iklan. Semuanya hendak disuap dan yang paling tidak patut ialah lupa kerja tentang apa. Itu adalah yang paling tidak sesuai ketika memohon pekerjaan kerana kesungguhan kita tidak nampak dan dah nampak sambil lewa. Bila dah kerja nanti mungkin akan jadi lebih teruk. Sebab itu juga saya sama seperti majikan ini menolak permohonan ini.

Di atas adalah dua contoh yang saya boleh berikan melalui pengamatan saya di Facebook. Masalah ini mungkin tidak berlaku di Jepun kerana pemohon akan mengganggap majikan adalah orang yang lebih besar ketika memohon kerja, jadi mereka akan menjawab dengan secermat yang mungkin. Semasa saya belajar di universiti juga saya ada belajar menjawab email dengan betul untuk memohon kerja.

Penutup

Akhir kata saya berpendapat adalah baik kita mengikut sistem di Jepun ini. Kesungguhan pemohon akan terus kita nampak. Di Malaysia kebanyakan resume kita akan buat pakai komputer dan saya yakin lebih 80% akan meniru dengan copy paste dari kawan dan hanya ubah bahagian tertentu sahaja. Bila ditanya mula tidak dapat jawab dengan baik.

Ingatlah, majikan memerlukan pekerja yang kompetatif untuk menjamin kelancaran syarikat, oleh itu ia perlu dimulakan dari peringkat saringan ketika mencari pekerjaan. Mungkin kita tidak perlu tiru semua, tetapi dari segi standard asas, kita boleh ikut negara yang lebih maju seperti Jepun ini.

Sebenarnya, banyak yang sering dikatakan tentang generasi Y atau Z yang semakin lama semakin tidak boleh menjawab dengan baik dan banyak guna bahasa chat walaupun benda itu penting untuk kehidupan mereka. Mereka sudah menganggap perkara itu biasa. Dan kini juga semakin ramai yang mudah depress disebabkan gaya hidup yang boleh dikatakan senang, jika diberikan cabaran mereka tidak mampu melawan stress tersebut seperti orang dahulu. Perkara ini bukan hanya di Malaysia, malah di Jepun juga sama. Generasi yang hidup di waktu senang akan tidak sekuat generasi dahulu.

Oleh itu kita boleh mulakan sesuatu untuk memperbaiki generasi akan datang. Semoga yang disampaikan ini memberikan manfaat kepada seluruh raksyat Malaysia khususnya.

Jika hendak mempelajari AutoCAD dengan detail, mohon cari Mirai Techno ya!! Iklan sikit :)

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN



Thursday, August 8, 2019

Kenapa Graduan di Negara Jepun Lepas Grad Sahaja Terus Dapat Kerja


Menganggur Setelah Tamat Belajar


Setiap tahun kita didengarkan berita ramai graduan sukar untuk mendapatkan kerja. Mungkin inilah cabaran yang dihadapi oleh graduan yang rata-rata selepas bergraduasi terpaksa melepak lama sebelum mendapat kerja. Tetapi di sini saya ingin kongsikan satu sistem yang digunakan oleh universiti saya dan mungkin kebanyakan universiti di Jepun.

Sistem Universiti di Jepun

Di sini saya ingin kongsikan berdasarkan pengalaman saya tentang bagaimana perjalanan seseorang pelajar di sebuah universiti di Tokyo, Jepun. Saya kongsikan dua situasi di mana sebagai pelajar degree dan pelajar master. Master di Jepun dua tahun sahaja dan situasinya lebih kurang macam tahun 3 dan tahun 4 universiti

Tahun Pertama

Saya tiada pengalaman belajar tahun 1 di Jepun kerana telah terus masuk ke tahun dua universiti. Tapi ini adalah situasinya di mana tahun pertama universiti ialah tahun untuk belajar subjek am, bahasa (kena ambil sekurang-kurangnya dua Bahasa), sains seperti Matematik, Fizik, Kimia, Eksperimen untuk keduanya, dan hanya satu atau dua subjek sahaja subjek pengenalan kebada pengkhususan, contohnya Engineering Creation di mana pelajar didedahkan untuk menggunakan Tamiya untuk buat projek. Itu sahaja subjek semasa tahun satu. Di MJHEP tempat saya mengajar sekarang juga lebih kurang sama. Ada Paper Car project dalam subjek Introduction to Engineering and Technical Drawing.

MJHEP Paper Car

Tahun Kedua

Tahun kedua ialah tahun di mana lambakan subjek asas pengkhususan yang kesemuanya susah. Bayangkan dalam seminggu saya terpaksa belajar Thermodynamics, Material, Fluid, Design, dan subjek pilihan untuk Matematik, Fizik. Memang 3 hari seminggu ketika ini pergi ke universiti seawal 7:33 pagi naik train di Myouden Station dan pulang dalam pukul 7:30 malam. Ini kerana jadual waktu di Waseda University bermula dari pukul 9:00 pagi dan tamat pukul 7:30 petang iaitu mengandungi 6 period.

Jadual harian di Waseda University (6 Period)
Kalau hari Isnin, untuk subjek Thermodynamics saya adalah pelajar yang paling lambat balik. Thermodynamic adalah subjek wajib dan ada pada hari Isnin bermula pukul 2:40 petang sehingga 7:30 malam (period keempat hingga keenam). Sebabnya tak dapat buat soalan masa tutorial. Masa belajar teori rasa faham aja, tapi bila tutorial, "Allahu Akbar, soalan apa yang keluar ni?".. Selagi tak dapat buat soalan tak dapat balik. Dan biasanya dalam pukul 9:45 malam baru boleh jawab, itu pun atas pertolongan Horie San (pelajar Master tahun 1 pada 2003 yang merupakan TA subjek Thermo yang kesian tengok saya tak dapat jawab dan akan tolong saya selepas Sensei balik). Jadi pukul 10:00 malam baru balik, sampai pukul 11:15 malam. Masa tu baru masak, dan makan depan TV sambil tengok drama Jepun yang merupakan tempat saya hilangkan stress ketika itu. Itulah, siapa kata belajar tidak sibuk... Dari dulu sampai sekarang, sam sahaja.. Janji kita ada cara nak hilangkan tekanan tersebut.
Biasanya saya solat Zohor masa rehat, Asar, Maghrib dan Isyak dalam ruangan 10 minit gap antara setiap period.

Tahun Ketiga atau Tahun Pertama Master

Tahun ketiga belajar di universiti dan tahun pertama master adalah lebih kurang sama. Lebih kepada pengkhususan. Saya suka macam ini kerana boleh ambil subjek berkaitan dengan design dan subjek yang tiada exam. Tahun ini ialah tahun untuk menghabiskan segala subjek supaya tahun 4 nanti tiada lagi subjek dan boleh fokus pada tesis dan cari kerja.

Mencari kerja biasanya Bermula Bulan November tahun 3 degree atau tahun pertama master

Bermula bulan november, banyak syarikat akan datang ke universiti membuat sesi penerangan tentang syarikat tersebut. Biasanya pelajar tahun 3 dan master tahun pertama akan hadir. Jadi jika kita berminat, biasanya pelajar disuruh melakukan pendaftaran atau entry dengan mengisi borang pada sistem. Setelah mendaftara dalam sistem, senior-senior tersebut akan menghubungi pelajar secara langsung dan dengan cara ini pelajar akan cuba impress senior tersebut dan jika berjaya, insya Allah sesi ujian kemasukan dan temuduga nanti akan sangat membantu. Saya berpengalaman pergi ke universiti selama 4 tahun berturut-turut untuk mengajak junior Waseda University masuk Fuji Electric... Hehe.

Tahun Keempat atau Tahun Kedua Master





Tahun 4 atau Master tahun dua ialah tahun menyiapkan tesis. Tiada kelas yang saya ambil ketika ini. Biasanya pelajar akan berusaha mencari kerja kecuali yang ingin sambung pelajaran. Dan di sini pelajar ada dua pilihan iaitu mencari sendiri atau memilih untuk mendapatkan sokongan universiti. Biasanya universiti tidak akan kacau pelajar dan tidak akan marah jika pelajar tidak datang ke universiti pada masa ini. Biasanya paling lambat sampai bulan Julai untuk semua pelajar dapat tempat.

Pilihan sendiri

Pilihan sendiri ini pelajar akan mencari sendiri syarikat mereka, mendaftar pada sistem Rikunabi, atau mencari syarikat, mendaftar pada website syarikat tersebut dan mengambil sendiri ujian. kadang-kadang terdapat 3 peringkat ujian bertulis jika calon ramai. Dan dengan cara ini mungkin agak mencabar sedikit.

Website Rikunabi untuk cari kerja


Website My Navi untuk cari kerja

Dan bagi pelajar Malaysia, setiap tahun Malaysia Student Association Japan (MSAJ) akan menganjurkan Career Fair di mana banyak syarikat dari Malaysia akan datang ke Jepun dan pelajar tahun akhir akan datang memohon kerja. Kadang-kadang dapat on the spot macam saya dapat Perodua pada tahun 2006 tapi saya memilih untuk sambung master.

MSAJ Career Fair

Sokongan Universiti

Dengan surat sokongan universiti, biasanya kita akan lagi mudah dapat kerja kerana nama universiti akan membantu. Biasanya masuk sahaja tahunakhir, akan ada pensyarah yang incharge bahagian degree dan seorang bahagian master. Pensyarah pensyarah ini akan menghubungi seberapa banyak syarikat untuk bertanya kuota yang kosong melalui graduan lepasan universiti yang telah berkhidmat. Jadi mereka akan memberitahu pelajar dan pelajar bebas memilih. Jika kuota sikit dan ramai yang ingin pergi, maka akan ikut result siapa yang lebih tinggi atau kalau tak nak mengalah akan dilakukan Janken... Haha... Biasanya bila kalah janken mereka tidak argue pula... Itulah orang Jepun.. Haha

Dan biasanya jika ikut saluran sokongan universiti ini, kita akan hanya ada ujian temuduga sahaja. Cuma saya pernah gagal sekali sebab saya cakap hendak kerja 2 tahun dan balik Malaysia. Terus muka penemuduga nampak tak berminat. Lepas ini siapa yang hendak temuduga, dinasihatkan agar berkata nak kerja sampai pencen di Jepun.. Hehe.. Itu dulu, tapi pelajar saya banyak aja berkhidmat di Jepun...

Dan satu lagi jika ikut saluan sokongan universiti, pelajar dilarang untuk berhenti sesuka hati kerana akan menjejaskan peluang junior untuk masuk pada tahun yang mendatang. Jepun adalah negara yang sangat mementingkan kepercayaan, jadi jika kepercayaan hilang, ia akan menjejaskan sesebuah hubungan. 

Kelebihan mencari kerja di Jepun - Tiket perjalanan dibayar syarikat

Salah satu kelebihan mencari kerja di Jepun ialah kos perjalanan kita akan dibayar oleh syarikat yang kita hendak pergi. Sebagai contoh, banyak kilang adalah tidak terletak di tengah bandar, dan tidak berada di Tokyo. Sebagai contoh jika kita belajar di Tokyo dan mencari kerja di Hiroshima, kita akan menaiki Shinkansen. Duit tambang shinkansen pergi balik akan dibayar oleh syarikat yang kita hendak kerja walau kita tidak masuk lagi.

Naiteishiki (Pre Employment Ceremony)

Sesudah mendapat kerja kita akan mendapat surat Naitei. Dengan surat ini kita secara tidak rasmi telah dilantik akan menyertai syarikat tersebut pada 1 April tahun berikutnya. Dan biasanya pada 1 Oktober akan diadakan Pre Employment Ceremony (Naiteishiki) yang akan mengumpulkan semua yang telah dapat kerja di sesebuah syarikat. Ada syarikat yang membuat Nai-naiteishiki (Pre pre Employment Ceremony) seperti syarikat Fuji Electric.

Graduation Thesis

Dan bila dah dapat kerja student baru boleh fokus buat tesis. Saya selepas dapat kerja, bulan 8 tahun akhir master saya balik Malaysia dan selepas balik dari Malaysia baru saya buat Thesis. maklumlah saya tidak suka musim panas di Jepun yang menjadikan badan melekit. 

Dan setelah dapat kerja juga, ada kalanya syarikat menghubungi kita untuk meminta kita mempelajari  sesuatu. Sebagai contoh saya diminta mempelajari ilmu ekonomi sedikit-sedikit. Dihantarnya buku ekonomi dalam Bahasa Jepun, tapi saya tidak baca kerana susah nak faham.. haha.

Masuk kerja pada 1 April sejurus selepas bergraduasi (Mac)

Setelah bergraduasi, iaitu di Jepun dalam bulan Mac setiap tahun, (Di Waseda setiap tahun 25 Mac), semua pelajar akan pergi ke tempat berkhidmat masing-masing. Dan akan masuk syarikat pada 1 April.
Cari di mana saya.. FES Rookies 2008

Perbincangan

Di Jepun, mereka sangat mementingkan peratusan graduan bekerja. Sebab itulah mereka melakukan sistem seperti ini iaitu setelah bergraduasi, pelajar akan ditawarkan terus kerja. Dan semuanya standard melapor diri pada 1 April. Jadi tiada masalah pelajar menganggur setelah tamat belajar. Di Jepun mungkin ada tapi sedikit sangat. 

Pihak universiti juga sangat risau jika pelajarnya gagal interview mendapat kerja. Ini kerana mungkin maruah mereka tercalar. Contohnya saya gagal dalam intervier syarikat Bridgestone kerana cakap nak kerja dua tahun, dan Motomura Sensei (Person Incharge Master 2007/08) memanggil saya dan menasihatkan saya supaya berkata nak kerja selama yang mungkin. Saya ikut cakapnya dan alhamdulillah kerja di Fuji Electric sangat membantu saya. 

Oleh itu, di Malaysia juga mungkin boleh dilakukan perkara ini. Pihak universiti mungkin boleh link secara terus bertanya kuota kekosongan setiap syarikat dan membantu pelajar dalam hal ini. Itulah gunanya hubungan antara graduan sesebuah universiti yang masuk dalam sesebuah syarikat. Saya tidak pernah belajar di Malaysia tetapi saya perasan bila berjumpa dengan senior dari SDAR, ada semangat sekolah di situ. Insya Allah dengan sistem ini graduan akan mendapat kerja lebih mudah dan usia mereka tidak dibazirkan untuk berkhidmat untuk negara.

Contohnya, graduan degree di Jepun rata-rata berusia 22 tahun, jadi jika mereka bekerja setelah bergraduasi, pada usia 32 tahun mereka telah ada 10 tahun pengalaman. Master pula pada usia 24 tahun dan pada usia yang sama mereka ada 8 tahun pengalaman dan 2 tahun pengalaman buat tesis master. Tesis master di Jepun biasanya projek yang akan diketuai, jadi ada sedikit pengalaman di situ. 

Dan mengikut pengalaman saya, graduan PhD tidak berapa diambil kerana rata-rata usia mereka sudah 27 atau 28 tahun. Pada usia 32 tahun mereka akan ada 4 tahun pengalaman. Graduan PhD juga jarang mohon untuk bekerja di kilang melainkan bahagian Kajian dan Penyelidikan atau nama popularnya RnD. Ramai graduan PhD akan menyertai bidang akademik.

Di Malaysia kalau diikutkan, adik-adik saya ada masa dahulu sebelum bekerja selepas grad. Mungkin ada bagusnya kerana ada rehat, tapi jika sekejap tiada masalah. Kadang-kadang saya dengar ada yang tiada kerja sesudah 6 bulan. Ini sangat merugikan. 

Graduan demand gaji

Tidak salah untuk demand gaji kerana ia sangat memberikan motivasi jika kita dapat yang setimpal dengan kerja. Contohnya jika pergi pagi balik malam gaji hanya RM1500, ia adalah tidak sesuai. Ahli parlimen dan politik yang kerja tidak memerlukan tenaga pun jika dibayar gaji sedemikian akan tidak ikhlas bekerja, jadi marilah kita lakukan yang terbaik untuk meningkatkan gaji graduan. Atau satu cara lagi rendahkan kos sara hidup.

Dan gaji kebanyakan fresh graduate di Jepun boleh ata lebih kurang sama iaitu dari 200k Yen hingga 220k Yen untuk degree dan 220k Yen hingga 250k Yen secara purata. Jadi tidak berbeza untuk pelajar masuk mana-mana syarikat. Dan gaji ini sesuai untuk kos sara hidup malah boleh simpan lagi.

Di Jepun tidak terasa kerana kos tidak berubah banyak dengan 10 tahun dahulu seperti yang saya pernah kongsikan di Facebook. Boleh klik di GAMBAR untuk baca.



Atau gambar di bawah

https://www.facebook.com/miraitechnoenterprise/photos/a.172243993130067/903698043317988/?type=3&theater

Penutup

 Akhir kata, saya suka cara mencari kerja di Jepun kerana selepas bergraduat, kita akan terus masuk kerja. Mengikut pengalaman saya, jarang pelajar akan tercicir untuk mencari kerja dengan sistem ini. Tetapi untuk merealisasikan sistem ini, syarikat-syarikat penawar pekerjaan, syarikat-syarikat head hunting atau recruiter serta universiti-universiti atau institusi pendidikan haruslah bekerja sama. Sistem yang terbina ini tidak terbina dalam satu hari, ia memerlukan masa dan akan berlaku penambahbaikan dari semasa ke semasa. Yang penting apa yang baik dari Jepun ini boleh kita gunakan.

Semoga perkongsian ini akan memberikan gambaran tentang pencarian kerja di Jepun yang mungkin akan membantu institusi-institusi pendidikan di Malaysia serta graduan-graduan di Malaysia. Saya sebagai pensyarah memohon agar pihak berwajib mengambil serius perkara ini kerana ia melibatkan masa hadapan negara.

Mungkin sistem di Malaysia sekarang lebih baik, saya tidak pasti kerana tidak pernah belajar di universiti di Malaysia. Tetapi apa yang saya kongsikan di sini ialah contoh sebuah negara memastikan graduannya dapat kerja. Beza nya yang ketara ialah di Malaysia biasanya selepas bergraduasi, baru pelajar mencari kerja manakala di Jepun bila kita berada di tahun akhir pengajian. Tak kira apa pun bidang yang kita ambil di universiti, mereka akan mencari kerja pada tahun akhir pengajian. Dan dalam bulan Julai tahun terakhir pengajian akan dapat kerja. Dan boleh terus bekerja pada 1 April selepas bergraduasi. Dengan cara ini mungkin masalah pengangguran di Malaysia akan diselesaikan.

※Di Jepun tiada konvokesyen seperti di negara lain. Jadi saya tidak pernah naik pentas terima skrol. Hanya pada sebelah malam majlis graduasi, kami akan makan dengan sensei iaitu supervisor kami dan beliau akan menyampaikan satu persatu kepada pelajarnya.
Pada majlis penerimaan sijil tamat belajar degree pada 25 Mac 2006

Terima kasih mebaca karangan yang panjang ini. Semoga bermanfaat.
 ※Nak belajar AutoCAD cari Mirai Techno ye!!

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN