Kursus Akan Datang oleh Mirai Techno Enterprise

  • Kursus Asas AutoCAD 2D (20-21 Julai 2019)
  • Kursus Advance AutoCAD 3D (3 - 4 Ogos 2019)

Thursday, August 8, 2019

Kenapa Graduan di Negara Jepun Lepas Grad Sahaja Terus Dapat Kerja


Menganggur Setelah Tamat Belajar


Setiap tahun kita didengarkan berita ramai graduan sukar untuk mendapatkan kerja. Mungkin inilah cabaran yang dihadapi oleh graduan yang rata-rata selepas bergraduasi terpaksa melepak lama sebelum mendapat kerja. Tetapi di sini saya ingin kongsikan satu sistem yang digunakan oleh universiti saya dan mungkin kebanyakan universiti di Jepun.

Sistem Universiti di Jepun

Di sini saya ingin kongsikan berdasarkan pengalaman saya tentang bagaimana perjalanan seseorang pelajar di sebuah universiti di Tokyo, Jepun. Saya kongsikan dua situasi di mana sebagai pelajar degree dan pelajar master. Master di Jepun dua tahun sahaja dan situasinya lebih kurang macam tahun 3 dan tahun 4 universiti

Tahun Pertama

Saya tiada pengalaman belajar tahun 1 di Jepun kerana telah terus masuk ke tahun dua universiti. Tapi ini adalah situasinya di mana tahun pertama universiti ialah tahun untuk belajar subjek am, bahasa (kena ambil sekurang-kurangnya dua Bahasa), sains seperti Matematik, Fizik, Kimia, Eksperimen untuk keduanya, dan hanya satu atau dua subjek sahaja subjek pengenalan kebada pengkhususan, contohnya Engineering Creation di mana pelajar didedahkan untuk menggunakan Tamiya untuk buat projek. Itu sahaja subjek semasa tahun satu. Di MJHEP tempat saya mengajar sekarang juga lebih kurang sama. Ada Paper Car project dalam subjek Introduction to Engineering and Technical Drawing.

MJHEP Paper Car

Tahun Kedua

Tahun kedua ialah tahun di mana lambakan subjek asas pengkhususan yang kesemuanya susah. Bayangkan dalam seminggu saya terpaksa belajar Thermodynamics, Material, Fluid, Design, dan subjek pilihan untuk Matematik, Fizik. Memang 3 hari seminggu ketika ini pergi ke universiti seawal 7:33 pagi naik train di Myouden Station dan pulang dalam pukul 7:30 malam. Ini kerana jadual waktu di Waseda University bermula dari pukul 9:00 pagi dan tamat pukul 7:30 petang iaitu mengandungi 6 period.

Jadual harian di Waseda University (6 Period)
Kalau hari Isnin, untuk subjek Thermodynamics saya adalah pelajar yang paling lambat balik. Thermodynamic adalah subjek wajib dan ada pada hari Isnin bermula pukul 2:40 petang sehingga 7:30 malam (period keempat hingga keenam). Sebabnya tak dapat buat soalan masa tutorial. Masa belajar teori rasa faham aja, tapi bila tutorial, "Allahu Akbar, soalan apa yang keluar ni?".. Selagi tak dapat buat soalan tak dapat balik. Dan biasanya dalam pukul 9:45 malam baru boleh jawab, itu pun atas pertolongan Horie San (pelajar Master tahun 1 pada 2003 yang merupakan TA subjek Thermo yang kesian tengok saya tak dapat jawab dan akan tolong saya selepas Sensei balik). Jadi pukul 10:00 malam baru balik, sampai pukul 11:15 malam. Masa tu baru masak, dan makan depan TV sambil tengok drama Jepun yang merupakan tempat saya hilangkan stress ketika itu. Itulah, siapa kata belajar tidak sibuk... Dari dulu sampai sekarang, sam sahaja.. Janji kita ada cara nak hilangkan tekanan tersebut.
Biasanya saya solat Zohor masa rehat, Asar, Maghrib dan Isyak dalam ruangan 10 minit gap antara setiap period.

Tahun Ketiga atau Tahun Pertama Master

Tahun ketiga belajar di universiti dan tahun pertama master adalah lebih kurang sama. Lebih kepada pengkhususan. Saya suka macam ini kerana boleh ambil subjek berkaitan dengan design dan subjek yang tiada exam. Tahun ini ialah tahun untuk menghabiskan segala subjek supaya tahun 4 nanti tiada lagi subjek dan boleh fokus pada tesis dan cari kerja.

Mencari kerja biasanya Bermula Bulan November tahun 3 degree atau tahun pertama master

Bermula bulan november, banyak syarikat akan datang ke universiti membuat sesi penerangan tentang syarikat tersebut. Biasanya pelajar tahun 3 dan master tahun pertama akan hadir. Jadi jika kita berminat, biasanya pelajar disuruh melakukan pendaftaran atau entry dengan mengisi borang pada sistem. Setelah mendaftara dalam sistem, senior-senior tersebut akan menghubungi pelajar secara langsung dan dengan cara ini pelajar akan cuba impress senior tersebut dan jika berjaya, insya Allah sesi ujian kemasukan dan temuduga nanti akan sangat membantu. Saya berpengalaman pergi ke universiti selama 4 tahun berturut-turut untuk mengajak junior Waseda University masuk Fuji Electric... Hehe.

Tahun Keempat atau Tahun Kedua Master





Tahun 4 atau Master tahun dua ialah tahun menyiapkan tesis. Tiada kelas yang saya ambil ketika ini. Biasanya pelajar akan berusaha mencari kerja kecuali yang ingin sambung pelajaran. Dan di sini pelajar ada dua pilihan iaitu mencari sendiri atau memilih untuk mendapatkan sokongan universiti. Biasanya universiti tidak akan kacau pelajar dan tidak akan marah jika pelajar tidak datang ke universiti pada masa ini. Biasanya paling lambat sampai bulan Julai untuk semua pelajar dapat tempat.

Pilihan sendiri

Pilihan sendiri ini pelajar akan mencari sendiri syarikat mereka, mendaftar pada sistem Rikunabi, atau mencari syarikat, mendaftar pada website syarikat tersebut dan mengambil sendiri ujian. kadang-kadang terdapat 3 peringkat ujian bertulis jika calon ramai. Dan dengan cara ini mungkin agak mencabar sedikit.

Website Rikunabi untuk cari kerja


Website My Navi untuk cari kerja

Dan bagi pelajar Malaysia, setiap tahun Malaysia Student Association Japan (MSAJ) akan menganjurkan Career Fair di mana banyak syarikat dari Malaysia akan datang ke Jepun dan pelajar tahun akhir akan datang memohon kerja. Kadang-kadang dapat on the spot macam saya dapat Perodua pada tahun 2006 tapi saya memilih untuk sambung master.

MSAJ Career Fair

Sokongan Universiti

Dengan surat sokongan universiti, biasanya kita akan lagi mudah dapat kerja kerana nama universiti akan membantu. Biasanya masuk sahaja tahunakhir, akan ada pensyarah yang incharge bahagian degree dan seorang bahagian master. Pensyarah pensyarah ini akan menghubungi seberapa banyak syarikat untuk bertanya kuota yang kosong melalui graduan lepasan universiti yang telah berkhidmat. Jadi mereka akan memberitahu pelajar dan pelajar bebas memilih. Jika kuota sikit dan ramai yang ingin pergi, maka akan ikut result siapa yang lebih tinggi atau kalau tak nak mengalah akan dilakukan Janken... Haha... Biasanya bila kalah janken mereka tidak argue pula... Itulah orang Jepun.. Haha

Dan biasanya jika ikut saluran sokongan universiti ini, kita akan hanya ada ujian temuduga sahaja. Cuma saya pernah gagal sekali sebab saya cakap hendak kerja 2 tahun dan balik Malaysia. Terus muka penemuduga nampak tak berminat. Lepas ini siapa yang hendak temuduga, dinasihatkan agar berkata nak kerja sampai pencen di Jepun.. Hehe.. Itu dulu, tapi pelajar saya banyak aja berkhidmat di Jepun...

Dan satu lagi jika ikut saluan sokongan universiti, pelajar dilarang untuk berhenti sesuka hati kerana akan menjejaskan peluang junior untuk masuk pada tahun yang mendatang. Jepun adalah negara yang sangat mementingkan kepercayaan, jadi jika kepercayaan hilang, ia akan menjejaskan sesebuah hubungan. 

Kelebihan mencari kerja di Jepun - Tiket perjalanan dibayar syarikat

Salah satu kelebihan mencari kerja di Jepun ialah kos perjalanan kita akan dibayar oleh syarikat yang kita hendak pergi. Sebagai contoh, banyak kilang adalah tidak terletak di tengah bandar, dan tidak berada di Tokyo. Sebagai contoh jika kita belajar di Tokyo dan mencari kerja di Hiroshima, kita akan menaiki Shinkansen. Duit tambang shinkansen pergi balik akan dibayar oleh syarikat yang kita hendak kerja walau kita tidak masuk lagi.

Naiteishiki (Pre Employment Ceremony)

Sesudah mendapat kerja kita akan mendapat surat Naitei. Dengan surat ini kita secara tidak rasmi telah dilantik akan menyertai syarikat tersebut pada 1 April tahun berikutnya. Dan biasanya pada 1 Oktober akan diadakan Pre Employment Ceremony (Naiteishiki) yang akan mengumpulkan semua yang telah dapat kerja di sesebuah syarikat. Ada syarikat yang membuat Nai-naiteishiki (Pre pre Employment Ceremony) seperti syarikat Fuji Electric.

Graduation Thesis

Dan bila dah dapat kerja student baru boleh fokus buat tesis. Saya selepas dapat kerja, bulan 8 tahun akhir master saya balik Malaysia dan selepas balik dari Malaysia baru saya buat Thesis. maklumlah saya tidak suka musim panas di Jepun yang menjadikan badan melekit. 

Dan setelah dapat kerja juga, ada kalanya syarikat menghubungi kita untuk meminta kita mempelajari  sesuatu. Sebagai contoh saya diminta mempelajari ilmu ekonomi sedikit-sedikit. Dihantarnya buku ekonomi dalam Bahasa Jepun, tapi saya tidak baca kerana susah nak faham.. haha.

Masuk kerja pada 1 April sejurus selepas bergraduasi (Mac)

Setelah bergraduasi, iaitu di Jepun dalam bulan Mac setiap tahun, (Di Waseda setiap tahun 25 Mac), semua pelajar akan pergi ke tempat berkhidmat masing-masing. Dan akan masuk syarikat pada 1 April.
Cari di mana saya.. FES Rookies 2008

Perbincangan

Di Jepun, mereka sangat mementingkan peratusan graduan bekerja. Sebab itulah mereka melakukan sistem seperti ini iaitu setelah bergraduasi, pelajar akan ditawarkan terus kerja. Dan semuanya standard melapor diri pada 1 April. Jadi tiada masalah pelajar menganggur setelah tamat belajar. Di Jepun mungkin ada tapi sedikit sangat. 

Pihak universiti juga sangat risau jika pelajarnya gagal interview mendapat kerja. Ini kerana mungkin maruah mereka tercalar. Contohnya saya gagal dalam intervier syarikat Bridgestone kerana cakap nak kerja dua tahun, dan Motomura Sensei (Person Incharge Master 2007/08) memanggil saya dan menasihatkan saya supaya berkata nak kerja selama yang mungkin. Saya ikut cakapnya dan alhamdulillah kerja di Fuji Electric sangat membantu saya. 

Oleh itu, di Malaysia juga mungkin boleh dilakukan perkara ini. Pihak universiti mungkin boleh link secara terus bertanya kuota kekosongan setiap syarikat dan membantu pelajar dalam hal ini. Itulah gunanya hubungan antara graduan sesebuah universiti yang masuk dalam sesebuah syarikat. Saya tidak pernah belajar di Malaysia tetapi saya perasan bila berjumpa dengan senior dari SDAR, ada semangat sekolah di situ. Insya Allah dengan sistem ini graduan akan mendapat kerja lebih mudah dan usia mereka tidak dibazirkan untuk berkhidmat untuk negara.

Contohnya, graduan degree di Jepun rata-rata berusia 22 tahun, jadi jika mereka bekerja setelah bergraduasi, pada usia 32 tahun mereka telah ada 10 tahun pengalaman. Master pula pada usia 24 tahun dan pada usia yang sama mereka ada 8 tahun pengalaman dan 2 tahun pengalaman buat tesis master. Tesis master di Jepun biasanya projek yang akan diketuai, jadi ada sedikit pengalaman di situ. 

Dan mengikut pengalaman saya, graduan PhD tidak berapa diambil kerana rata-rata usia mereka sudah 27 atau 28 tahun. Pada usia 32 tahun mereka akan ada 4 tahun pengalaman. Graduan PhD juga jarang mohon untuk bekerja di kilang melainkan bahagian Kajian dan Penyelidikan atau nama popularnya RnD. Ramai graduan PhD akan menyertai bidang akademik.

Di Malaysia kalau diikutkan, adik-adik saya ada masa dahulu sebelum bekerja selepas grad. Mungkin ada bagusnya kerana ada rehat, tapi jika sekejap tiada masalah. Kadang-kadang saya dengar ada yang tiada kerja sesudah 6 bulan. Ini sangat merugikan. 

Graduan demand gaji

Tidak salah untuk demand gaji kerana ia sangat memberikan motivasi jika kita dapat yang setimpal dengan kerja. Contohnya jika pergi pagi balik malam gaji hanya RM1500, ia adalah tidak sesuai. Ahli parlimen dan politik yang kerja tidak memerlukan tenaga pun jika dibayar gaji sedemikian akan tidak ikhlas bekerja, jadi marilah kita lakukan yang terbaik untuk meningkatkan gaji graduan. Atau satu cara lagi rendahkan kos sara hidup.

Dan gaji kebanyakan fresh graduate di Jepun boleh ata lebih kurang sama iaitu dari 200k Yen hingga 220k Yen untuk degree dan 220k Yen hingga 250k Yen secara purata. Jadi tidak berbeza untuk pelajar masuk mana-mana syarikat. Dan gaji ini sesuai untuk kos sara hidup malah boleh simpan lagi.

Di Jepun tidak terasa kerana kos tidak berubah banyak dengan 10 tahun dahulu seperti yang saya pernah kongsikan di Facebook. Boleh klik di GAMBAR untuk baca.



Atau gambar di bawah

https://www.facebook.com/miraitechnoenterprise/photos/a.172243993130067/903698043317988/?type=3&theater

Penutup

 Akhir kata, saya suka cara mencari kerja di Jepun kerana selepas bergraduat, kita akan terus masuk kerja. Mengikut pengalaman saya, jarang pelajar akan tercicir untuk mencari kerja dengan sistem ini. Tetapi untuk merealisasikan sistem ini, syarikat-syarikat penawar pekerjaan, syarikat-syarikat head hunting atau recruiter serta universiti-universiti atau institusi pendidikan haruslah bekerja sama. Sistem yang terbina ini tidak terbina dalam satu hari, ia memerlukan masa dan akan berlaku penambahbaikan dari semasa ke semasa. Yang penting apa yang baik dari Jepun ini boleh kita gunakan.

Semoga perkongsian ini akan memberikan gambaran tentang pencarian kerja di Jepun yang mungkin akan membantu institusi-institusi pendidikan di Malaysia serta graduan-graduan di Malaysia. Saya sebagai pensyarah memohon agar pihak berwajib mengambil serius perkara ini kerana ia melibatkan masa hadapan negara.

Mungkin sistem di Malaysia sekarang lebih baik, saya tidak pasti kerana tidak pernah belajar di universiti di Malaysia. Tetapi apa yang saya kongsikan di sini ialah contoh sebuah negara memastikan graduannya dapat kerja. Beza nya yang ketara ialah di Malaysia biasanya selepas bergraduasi, baru pelajar mencari kerja manakala di Jepun bila kita berada di tahun akhir pengajian. Tak kira apa pun bidang yang kita ambil di universiti, mereka akan mencari kerja pada tahun akhir pengajian. Dan dalam bulan Julai tahun terakhir pengajian akan dapat kerja. Dan boleh terus bekerja pada 1 April selepas bergraduasi. Dengan cara ini mungkin masalah pengangguran di Malaysia akan diselesaikan.

※Di Jepun tiada konvokesyen seperti di negara lain. Jadi saya tidak pernah naik pentas terima skrol. Hanya pada sebelah malam majlis graduasi, kami akan makan dengan sensei iaitu supervisor kami dan beliau akan menyampaikan satu persatu kepada pelajarnya.
Pada majlis penerimaan sijil tamat belajar degree pada 25 Mac 2006

Terima kasih mebaca karangan yang panjang ini. Semoga bermanfaat.
 ※Nak belajar AutoCAD cari Mirai Techno ye!!

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN


No comments:

Post a Comment