Thursday, July 18, 2019

Kerja Sambilan di Jepun: Kutip Sampah


Pengenalan

Sampah akan terhasil setiap hari di mana-mana pun. Di Malaysia bulan puasa dilaporkan sampah yang terhasil dari sisa makanan bertambah lebih dari bulan bukan puasa. Pelik kan?

Semasa berada di Jepun, saya pernah bekerja mengutip sampah. Jadi saya ceritakan sedikit sebanyak perjalanan sebagai pengutip sampah yang saya buat semasa tahun kedua, ketiga dan keempat universiti. Saya pernah mengutip sampah di dua tempat di Jepun iaitu di Todoroki (Tamagawa Office) dan di Shinagawa (Ebara Office).

Pada tahun dua di universiti saya banyak bekerja di Tamagawa dan tahun tiga dan empat saya bekerja di Ebara. Masa Master saya tidak kutip sampah lagi kerana buat kerja packing kompenen elektrik yang lebih dekat dengan universiti. Di sini saya ceritakan perbezaan kedua-dua tempat tersebut.

Suasana biasa kutip sampah di Tokyo

Perjalanan pergi dan balik

Tamagawa

Untuk ke Tamagawa Office, saya terpaksa bertolak pukul 5:58 pagi naik train dari Myouden tempat tinggal saya masa menjadi pelajar. Kadang-kadang saya menumpang di rumah kawan saya di Futako Tamagawa atau Ikuta untuk mendekatkan perjalanan. Biasanya sebelum Subuh sudah bangun untuk masak bawa bekal. Nasi goreng atau sekurang-kurangnya nasi dan goreng telur dan kicap sudah memadai.

Rumah ke Tododroki
Dan cabaran utama ialah dari stesen Todoroki ke pejabat berjalan kaki sejauh1.3 km dan memakan masa lebih kurang 20 minit (bukan 17 minit yang memerlukan kita jalan laju)

Perjalanan lebih kurang 20 - 25 minit sebenarnya

Ebara

Untuk ke Ebara dekat sikit dari Myouden kerana boleh naik train pukul  6:26 pagi. Sama juga sebelum pergi mesti masak kerana Jepun dulu bukan macam sekarang, makanan halal tidak semudah sekarang untuk dicari. Makan Onigiri pula tidak cukup untuk perut saya yang kuat main bola satu ketika dulu..

Rumah ke Togoshi (rehat sikit sebab transfer sekali sahaja)

Setelah sampai di pejabat

Biasanya saya target sampai ke pejabat dalam pukul 7:30 pagi, jadi ada masa dalam 20 minit menukar baju. Pukul 7:50 pagi akan ada senaman pagi. Biasanya kami buat-buta ikut pakcik-pakcik tersebut bersenam walau tak tahu cara sebenar.

Pengutipan sampah sesi pagi

Pengutipan Sampah sesi pagi bermula pukul 8 pagi. Di Tamagawa pagi kami akan naik 4 lori manakala di Ebara pula saya akan naik 3 lori di sebelah pagi.

Dalam lori sampah biasanya ada saya, pakcik berpengalaman dan driver lori. Ranking paling berkuasa dalam ketiga-tiga ini saya rasa macam pakcik berpengalaman diikuti saya sebagai part timer dan driver lori. Dan kami akan pergi kutip di kawasan perumahan atau kedai. 

Di kawasan perumahan boleh dikatakan kawasan sampah agak bersih. Mudah dan tersusun dan diletakkan di bawah jaring. Ini bertujuan untuk menghalang burung, atau binatang lain membuat onar pada sampah tersebut agaknya.
Buang sampah di Jepun

Kalau dapat rumah mansion orang kaya lagi mudah, semua dalam bilik buang sampah. Lori hanya reverse belakang dan kami akan tunduk dan ambil sampah dan campak ke dalam lori tanpa bergerak.
Sampah di Mansion (Rumah mahal sikit)

Semasa mengutip sampah ada banyak keadaan boleh berlaku. Keadaan pertama ialah pakcik yang menjadi ketua itu fit. Jadi kita sangat mudah kerana mereka akan buat semua benda dan laju mengutip sampah. Seboleh-boleh mereka yang angkat banyak. Dan bila dapat macam ni, memang satu lori akan habis dengan cepat.

Keadaan yang kedua di mana dapat pakcik yang tidak fit. Yang ini memang sakit sikit kerana kita akan diminta angkat banyak dan biasanya mereka berjalan sahaja. Dan keadaan ketiga buat sama-sama. Yang ini kalau dua-dua laju lagi cepat tapi kita juga akan penat. Hehe.. Pemandu lori akan membantu bila diminta dan ada juga dari kalangan wanita yang menjadi pemandu lori ini. Dan waktu mengutip, pakcik ini akan memastikan pejalan kaki selamat dengan bising sebut "Hidari oraitssu" yang bermaksud belah kiri selamat jika tiada pejalan kaki...

Video berikut adalah kebetulan saya jumpa suasana angkut sampah di Jepun masa pergi pada bulan Mac 2017.



Sampah di Jepun biasanya akan dibahagikan, contohnya sampah yang boleh dibakar, tidak boleh dibakar, plastik, sumber dan sebagainya. Pembahagian ini adalah mengikut kawasan. Contohnya seperti di bawah.

Sampah boleh dibakar

Image result for 品川ゴミ回収
Sampah boleh recycle

Interval pertukaran lori

Setelah habis mengutip sampah di satu kawasan, saya akan dibawa ke satu tempat yang ada vending machine. Di situ saya (pekerja part time) akan dibelanja air tin biasanya kopi tanpa gula dan sebagainya. Kami berehat di situ dalam 5-10 minit. Jadi boleh kata kutip 20-30 minit dan rehat 5-10 minit. Kiranya dalam 45 minit selesai satu lori paling maksimum dan biasanya secara purata ialah 30 minit. Jadi dalam pukul 10 atau 10:30 pagi kami akan siap kutip dan balik ke pejabat. Dan kami akan rehat sehingga pukul 2 petang. Kalau di Ebara paling awal siap dalam 9:30 pagi.. best.

Waktu Rehat

Masa rehat ini kami bebas buat apa sahaja. Zaman saya dulu telefon bukan smart phone, jadi tak boleh layari internet, Friendster, Facebook dan sebagainya. Saya banyak habiskan masa tidur kerana saya duduk agak jauh dan terpaksa bangun awal pagi untuk masak makanan tengah hari. Jadi saya akan bangun untuk solat Zohor dan makan tengah hari terus. Zohor di Jepun pukul 11:30 pagi jadi ia sangat membantu kerana dalam waktu rehat. Jadi kerja pagi dalam 2 jam 30 minit dan rehat dalam 3 jam 30 minit. Hehe, lagi lama rehat.

Kutip sampah petang

Sesi petang untuk mengutip sampah bermula pukul 2 petang. Di Tamagawa ada dua lori lagi dan di Ebara hanya satu lori. Jadi paling maksimum sejam sudah habis dan pakul 2:45 atau 3 kami sudah pulang ke office.

Rehat petang

Rehat petang ialah selepas siap kutip sampah sesi petang iaitu pukul 3 hingga 4:30 petang. Di sini biasanya orang Jepun akan mandi dan saya tidak mandi kerana mereka mandi tanpa seurat benang. Untuk mengelakkan perkara tersebut saya tidak pernah mandi dan sebab itulah saya hanya pilih untuk kutip sampah pada musim sejuk di mana badan tidak berpeluh. Ini adalah masa yang diambil untuk solat Asar dan kalau Maghrib dalam 4:30 petang, saya akan tunggu solat Maghrib dulu baru balik.

Dan sesudah mandi mereka akan bersiap untuk balik dan pakai sut atah baju kemas. Dan kita tidak akan kenal mereka sebagai pengutip sampah kerana mereka akan transform menjadi salary man yang macam kerja di pejabat. 

Waktu balik

Pukul 4:30 petang sahaja kami akan balik terus tanpa risau fikir apa-apa. Jika kita campurkan masa mengutip sampah selama lebih kurang 4 jam sahaja iaitu 2 jam 30 minit pagi dan 1 jam - 1 jam 30 minit waktu petang.

Yang best kerja sampah

Gaji

Gaji pemungut sampah di Jepun boleh tahan lumayan dengan waktu kerja, iaitu kutip sampah selama 4 jam tetapi boleh dapat dalam 9500 Yen sehari iaitu lebih kurang RM362.14. Ini tidak termasuk kos perjalanan yang juga akan ditanggung oleh syarikat sampah. Jadi jika dicampurkan dengan tiket keretapi, sehari boleh dapat lebih kurang 10,500 Yen iaitu RM400.26 (Rate pada 18 Julai 2019).
Tukaran pada 18 Julai 2019


Jadi jika ikut undang-undang Jepun, pelajar hanya dibenarkan buat part time sebanyak maksimum 12 hari sebulan maka sebulan boleh dapat dalam RM4800. Tapi jumlah ini akan berkurang sedikit jika ditolak cukai. Untuk tak ditolak, buat 10 kali masih ok rasanya. Tengok betapa kejamnya Jepun, orang part time juga dicukainya.. Hehe Tapi duit ini sangat membantu untuk balik Malaysia ketika itu kerana Air Asia belum sampai Jepun pada 2004-2006.

Pengalaman 


Pengalaman bekerja ini juga sangat berharga. Saya dapat lihat betapa tersusunnya orang Jepun merancang sesuatu. Kadang-kadang apabila orang tak dapat datang, backup plan mereka sangat bagus. Dan tidak seperti di Malaysia, semua sampah perlu dikutip, mereka tahu mana yang tidak perlu dikutip pada hari tersebut dan minta kita biarkan. Kalau ikut memang nak kutip kosongkan aja kadang-kadang. Hehe..

Dan jika anda hendak tahu, kebanyakan pakcik-pakcik pemungut sampah ini adalah bekas engineer. Kata mereka buat apa kerja susah-susah perah otak, mereka boleh dapat gaji yang sudah cukup untuk menyara isteri dan purata dua anak dengan kerja sampah. Mungkin engineer akan naik dengan lebih mudah tapi kepenatannya tidak sama. Dan mereka dengan bangganya berkata mereka tak pernah beli kereta second hand, apa kelas kereta second hand... Kami pelajar kebanyakannya boleh beli kereta second hand yang lepas 5 tahun kerana harganya menjunam jatuh.

Dapat lori besar atau bahan sumber untuk recycle 資源 (Shigen)


Lori besar akan menyebabkan kita dua trip waktu pagi dan satu trip waktu petang dan akan ada 3 orang sekali pergi termasuk pekerja sambilan. Lori kecil untuk ambil sumber pula lagi lepak. Kadang-kadang ambil sampah besar seperti sofa pada satu tempat sahaja. Badan pun tak kotor.

Penghargaan dari orang sekeliling


Bila kita kutip sampah, ada makcik beri air mineral atau teh jepun panas atau kopi dalam tin yang panas sangat membantu dalam musim sejuk. Boleh memanaskan badan. Dan sangat rasa dihargai jika mereka ucap terima kasih atau arigatou gozaimasu sambil beri air tersebut. Juga apabila lalu depan pelajar tadika mesti diucap terima kasih. Itulah penghargaan yang meningkatkan motivasi.

Yang tak best kerja sampah

Tangan jadi kasar

Mungkin tidak berlaku pada hari pertama atau kedua kerja. Tapi setelah berhari-hari bekerja, tangan anda akan jadi kasar. Memang tidak dapat lari kalau kerja angkat sampah atau barang berat perkara ini.

Sakit Pinggang


Duduk membongkok, angkat sampah campak dalam lori dan ulang semula duduk, angkat sampah dan campak berulang-ulang kali akan membuatkan pinggang kita sakit. Saya buat ketika berumur 21-23 tahun pun terasa kepenatannya. Sampai saya rasa tengok orang kutip sampah di Malaysia contohnya di Terengganu saya tengok mereka sambungkan tong sampah dengan lori dan automatik lori masukkan sampah nampak lagi senang. Hehe.. Tapi di Taman tempat saya tinggal sekarang macam di Jepun tetapi lori lagi besar dan ada tiga pengutip sampah. Sama macam Jepun tapi banyak dibuat oleh pekerja asing. Terima kasih kepada anda semua.

Budaya pandang rendah pada orang


Di Jepun bukan semua baik. Ada yang pandang rendah pada orang asing. Muka marah aja. Biasanya bila mereka anggap kita bekerja untuk sara hidup di Jepun macam pelarian yang tak ada negara. Tapi untuk mengatasi masalah ini, biasanya bila saya sebut belajar di Waseda University, baru gaya mereka berubah. Yang tu antara perkara best jadi budak Waseda ni.. Polis bila tahan pun bila tunjuk student card aja berubah jadi baik layanannya..
Satu lagi budaya suka tengok benda lucah. Ni tak dapat lari dari mana-mana tempat kutip sampah di Jepun. Mereka akan kutip majalah-majalah dan buat harta di pejabat. Tak tahu bila mereka nak buang. Saya selalu buat selamba tak layan bila mereka ajak berborak perkara tersebut. Alhamdulillah, berjaya juga. Nampaknya gaya serius arwah ayah banyak membantu.

Penutup


Sebagai penutup, mungkin kita boleh belajar sesuatu dari sini. Di Malaysia kalau di tempat saya tinggal saya perhatikan ramai pengutip sampah kita adalah dari kalangan warga asing. Macam itulah orang Jepun rasa pada orang asing iaitu kita di Jepun. Hormatilah mereka kerana mereka bekerja mungkin untuk menyara keluarga mereka di negara mereka.

Tapi kepada warga asing juga, tunjukkan imej yang baik macam orang Malaysia di Jepun. Seboleh-boleh kami ikut apa yang undang-undang Jepun tetapkan dan tidak akan buat perkara yang memalukan Malaysia, insya Allah. Di sini ikutlah undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Dan ini adalah cerita 13 tahun lepas. Untuk situasi terkini mungkin boleh dikongsikan pula oleh pelajar-pelajar saya pula. Memang kerja kutip sampah ini adalah arubaito atau part time student Malaysia yang hidup di Tokyo zaman dulu. Kini mungkin sama sebab gaji hariannya agak tinggi.

Dan gaji yang tinggi ini dapat dibayar kerana apabila menjadi penduduk di sesebuah prefecture atau ward, bermula tahun kedua kerja kami akan bayar residential tax yang tinggi. Dan kilang-kilang juga membayarnya. Jadi ini akan menjadikan bandar atau kawasan tersebut berduit dan duit ini digunakan untuk membayar gaji pekerja sampah dan mencantikkan bandar. Nampak juga hasil cukai yang dibayar.

Jadi pihak kerajaan bolehlah melakukan kajian tentang ini agar negara kita menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Semoga apa yang dikongsikan ini memberikan manfaat kepada pembaca semua.

Dan jangan lupa kongsikan kewujudan Mirai Techno kepada kawan-kawan supaya maklumat kursus AutoCAD dapat sampai dan bermanfaat kepada semua. Link ke Facebook Mirai Techno

BERILMU UNTUK BERJASA
MUHAMMAD ZULFAHMI BIN SAMSUDIN




No comments:

Post a Comment